Aku tercari-cari sinar cahayaMU.. Namun dalam pencarian itu, aku disapa oleh dunia. Ia sering merapatiku, menyinggah dalam hatiku, sehingga aku benar-benar jadi jatuh cinta padanya. Meski padanya tersusun duri-duri kehinaan, namun aku tidak punya masa untuk memikirkannya. Apatah lagi untuk mencabutnya dari diriku.
Mereka kata, “Kau telah melupakan Tuhanmu…” Aku menjawab, “Tidak, setiap hari aku bersolat. Setiap hari akau berdoa sebelum tidur, selepas makan… setiap waktu. Sebagai tanda bahawa hari-hariku bukan hanya dipenuhi dunia.”
Sungguhkah begitu? Engkau melakukannya kerana manusia sekelilingmu melakukannya atau kerana engkau benar-benar merasakan bahawa engkau memerlukannya??? Engkau bersolat kerana ia sudah menjadi rutin harianmu atau kerana engkau tahu ia adalah tanggungjawabmu sebagai hambaNYA? Engkau berdoa kerana dirimu terasa bergantung harap sepenuhnya padaNYA, atau sekadar mempraktikkan apa yang telah nenek moyangmu lakukan?
Wahai diri… mengapa engkau terlalu mengejar dunia . Meski sejak mula lagi engkau meyakini bahawa pengakhiran jalan pilihanmu ini hanyalah sebuah penderitaan?? Bukankah engkau sedia tahu bahawa airmata yang selama ini engkau titiskan, penyebabnya adalah dunia? Namun dalam hatimu, mengapa apabila kesakitan yang engkau terima, engkau lantas mengatakan Tuhanmu telah menghinamu?
Firman ALLAH dalam surah alfajr: 16 yang bermaksud;
Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya Maka dia berkata: "Tuhanku menghinaku"
Sesungguhnya sedikit pun ALLAH tidak akan menzalimi hamba-hambaNYA. Engkau derita kerana perbuatanmu sendiri. Engkau menganiaya diri sendiri dengan menjauhi dari Tuhanmu. Sedangkan engkau tahu, hari-hari yang tidak diselubungi ingatan terhadapNYA, pasti perjalanannya sempit dan berliku. Lupakah engkau akan firmanNYA dalam surah Thaha: 124,
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".
Sedarlah wahai diri, setiap hari tanda kecintaanNYA kepadamu terbentang, tetapi sengaja engkau membutakan matamu dan memekakkan telingamu dari semua itu. Maka jadilah engkau sentiasa terawang-awang di langit gelita. Membawa hati yang lara, seolah-olah dinaungi bangkai dunia. Dan semakin hari ia menyubur di dalam hatimu.
Ya.. aku silap. Silap kerana menyambut cinta dunia yang bila-bila masa sahaja bisa fana.
Lantas jiwaku berbisik, “Ampuni aku ya ALLAH, selama ini aku terlupa untuk membalas cintaMU…”
No comments:
Post a Comment