Wednesday, September 3, 2008

:: Hidup ini Satu Doa ::

Sewaktu menghadiri ceramah KPP beberapa minggu sudah, terlalu banyak pengajaran yg saya peroleh. Tentang perangai kebanyakan rakyat Malaysia, pengalaman-pengalaman penceramah berkaitan kebiadapan sesetengah pemandu dan pelbagai lagi. Namun satu perkara yang membuat hati saya tertarik ialah perkara terakhir yg disebut oleh penceramah. Katanya, hidup ini adalah satu doa.

Putaran hidup ini pada hakikatnya dipenuhi dengan doa, cita-cita, impian dan juga pengharapan yang tidak pernah putus. Pengharapan yg adakalanya entah pada siapa kita tujukan. Bermula fajar menyinsing, hidupan keseluruhannya bertasbih memuji-NYA dengan bahasa yang tidak kita fahami, kita manusia mencelikkan mata dan akal mula dipenuhi dengan berbagai-bagai harapan terutamanya untuk hari yang bakal dilalui.

“Sarapan hari ni aku nak makan roti canai mamak la…” satu hati kecil terdetik. Minta didengari oleh diri.

“Aku tak nak pergi kelas pukul 8 pagi ni. Ngantuk tak habis lagi…” hati yang dihinggapi bisikan syaitan juga meluahkan keinginannya pada pagi itu.

“Ya ALLAH, moga-moga aku akan melalui hari ini dengan diiringi rahmat & petunjuk-Mu. Aku ingin nafasku seluruhnya dihembus semata-mata untuk-Mu, aku tidak ingin nikmat hidup yg Kau berikan padaku hari ini disia-siakan dengan penuh dosa & maksiat kepada-Mu…” suara hati yg mendayu-dayu terhadap Tuhannya turut kedengaran.

Begitulah seterusnya. Pada waktu dhuha, tengah hari, petang dan seterusnya malam, diri kita tetap berterusan memasang angan-angan dan memanjatkan doa. Kita makan dengan harapan diberi kekuatan, untuk meneruskan hidup mengikut garis panduan yg telah diwahyukan. Kita tidur dengan harapan diberi kerehatan yg cukup, supaya hari esok dapat dilalui dengan sempurna & penuh kesegaran.

Persoalannya, pada siapakah kita ‘menghantar’ doa & pengharapan itu? Pada manusia? Tuhan manusia?? Jawapannya ada pada diri sendiri. Jika seluruhnya ditujukan kepada ALLAH, maka Alhamdulillah. Tanda kita mengiktiraf kelemahan diri, yang tidak akan pernah mampu untuk menjalani hidup dengan sempurna jika tiada pertolongan dan izin-NYA.

Kita mengaku kita ini lemah, kita sedar diri kita ini berhajat kepada-NYA. Namun layakkah bagi kita untuk menderhakai Tuhan Alam ini, setelah hajat kita dipenuhi oleh-NYA? Setelah memperoleh kegembiraan & ketenangan yg telah DIA kurniakan? Celakalah wahai diri.. Jika kamu telah melakukan maksiat kepada-NYA, bertaubatlah segera. Sesungguhnya ALLAH MAHA MENERIMA TAUBAT. Mudah-mudahan kamu Berjaya.

Cubalah renungkan untuk beberapa ketika, semasa kita berbuat maksiat & dosa kepada Yang Maha Pengasih, apakah sebenarnya harapan yg terselit dalam hati kita ketika itu? Inginkan kasih sayang-NYA? Ataupun murka-NYA? Na’udzubillahi min dzaalik.

Moga selamanya kita dihujani pengampunan ALLAH … Amin.

No comments: